Sunday, February 6, 2011

Pengantin + Jalan-Jalan

Hmmm.... agaknya apakah cerita yang saya nak kongsikan ya? Maklumlah, saya wujudkan laman blog saya ni untuk berkongsi apa yang saya telah, pernah dan akan saya lakukan.
Pada hujung minggu yang lalu, saya dan keluarga telah pergi ke sebuah majlis undangan perkahwinan di Taman Universiti. Lokasi yang paling tepat di Jalan Kejayaan. Yang membuatkan saya tertarik dengan undangan kali ni, pihak tuan rumah telah menjemput kumpulan tarian kuda kepang untuk menyerikan lagi majlis tersebut. Sempat jugalah saya melihatnya, walaupun sekejap. Yalah, jarang saya melihat majlis undangan perkahwinan diserikan dengan persembahan kumpulan tarian kuda kepang. Selama ni, saya hanya menontonnya menerusi televisyen saja, dah dapat peluang di depan mata, alhamdulillah. Terima kasih kepada tuan rumah atas kesudian mengundang saya sekeluarga ke majlis tersebut.
Dah lepas makan nasi pengantin bak kata mak saya, saya sekeluarga apa lagi, jalan-jalanlah kejap. Pada mulanya saya fikir macam nak balik rumah, yalah, ayah saya memang jarang bawa kami sekeluarga ni jalan-jalan, maklumlah ada masa ayah saya sihat, ada masa pula ayah saya sakit. Bila dah dapat peluang macam ni, saya pun tak mahu lepaskan peluang. Bila semua orang dalam kereta masa tu mengetahui niat ayah saya itu, terus terpancar muka ceria yang teramat sangat (teramat sangat ke?) 
Lokasi pertama ialah di Kedai Kain Jakel Trading di Taman Tampoi Indah. Tujuan kami ke sana untuk mencari kain sekolah warna meroon untuk adik perempuan saya, katanya untuk uniform pustakawan sekolah a.k.a. pengawas pusat sumber bak kata adik saya tu. Keadaan di sana macam biasa, ada pengunjung yang datang membeli. Pada masa yang sama, kami juga sempat membeli kain untuk dibuat baju melayu untuk ayah saya, adik lelaki saya dan saya sendiri. Dah selesai membeli kain di Jakel, kami terus ke lokasi kedua.
Lokasi kedua pulak di Kip Mart. Kami ke sana hanya jalan kaki saja, yalah lokasi antara Jakel dengan Kip Mart, tak berapa jauh, dalam beberapa tapak sampailah. Saya pulak kena angkut beg plastic berisi kain yang baru dibeli di Jakel. Sampai saja di sana, kami pun jalanlah. Sempat juga tengok apa yang sedang berlaku di sana. Ada kedai yang tutup, maklumlah cuti tahun baru cina. Tetapi, pengunjungnya di sana boleh tahan. Ramai juga pengunjung. Sempat juga beli barang seperti ikan, daging dan yang tidak dilupakan, buah limau. Maklumlah, sambutan tahun baru cina ni boleh dikatakan sinonim dengan buah limau.
Selesai berjalan, kami pun pulang ke rumah. Suatu perjalanan yang boleh dikatakan memenatkan tapi hati ni puas dan kami satu keluarga gembira. Peluang cuti yang diberikan digunakan dengan sepenuhnya. Terima kasih ayah. 
p/s: rindunya kat kawan2. Agaknya apa khabar mereka ya sekarang?

No comments:

Post a Comment